"BIASAKAN YANG BETUL , BETULKAN YANG BIASA"

Wednesday, December 5, 2012

Peranan Bahasa Untuk Bangsa


                                                               Bahasa Cerminan Identiti, Ilmu  Bangsa - Dr. M
PUTRAJAYA 29 Mac - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed berkata, bahasa bukan sahaja mampu memainkan peranan untuk mengenal pasti identiti sesuatu bangsa tetapi menjadikan sesuatu bangsa itu terpelajar.
Beliau berkata, sejarah telah membuktikan bagaimana sesebuah tamadun itu berkembang pesat apabila rakyatnya berusaha mendalami mana-mana bahasa untuk menguasai ilmu pengetahuan.
"Kegemilangan Tamadun Islam sebelum ini berpunca daripada sikap orang Arab yang memeluk Islam ketika itu berusaha mendalami bahasa Greek yang dianggap sebagai bahasa ilmu dan mereka telah menterjemahkannya ke dalam bahasa Arab.
"Keadaan itu telah menyebabkan bahasa Arab dikenali sebagai bahasa ilmu sehingga menarik ramai orang Eropah mendalaminya bagi menguasai ilmu yang ada," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pendidikan Melayu Antarabangsa anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.
Seminar tiga hari itu yang bermula hari ini bertemakan Mentransformasi Aspirasi Pendidikan, Menginovasi Penciptaan Warisan.
Justeru, Dr. Mahathir berkata, masyarakat yang fanatik kepada bahasa sendiri akan menyebabkan mereka ketinggalan bukan hanya dari segi pembangunan tetapi juga penguasaan ilmu pengetahuan.
Malah beliau menambah, sikap sedemikian juga akan menyebabkan bahasa tersebut sukar untuk berkembang dan dikuasai oleh bangsa lain.
"Walaupun bahasa ilmu hari ini adalah bahasa Inggeris tetapi tidak bermakna bahasa Melayu perlu kita pinggirkan, kita mesti pupuk bahasa itu kerana mungkin satu masa nanti, ia akan menjadi bahasa ilmu," katanya.

2 comments:

  1. Salam,bagus blog cikgu,mesti cikgu mengajar thn 6,banyak info yang boleh dikongsi,tahniah.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih.Blog sya tidak banyak hiasan sebab saya ingin menyalurkan lebih banyak maklumat untuk rakan-rakan jika diperlukan.Saya sedia berkongsi pengalaman dan maklumat.

    ReplyDelete