"BIASAKAN YANG BETUL , BETULKAN YANG BIASA"

Rencah Bahasa

Dalam ruangan ini saya meletakkan pelbagai bahan berkaitan penggunaan bahasa Melayu seperti puisi,peribahasa,slogan dan seumpamanya yang biasa digunakan oleh penutur bahasa Melayu.

                                           Secebis Bingkisan............
Langkah-langkahmu tertinggal di muka pintu
Berbaur kenangan terpahat di birai waktu
Kukutip satu persatu dalam rintik yang menyatu
Lalu kuadunkan bersama muzik irama syahdu
Kugubah buat memori di benak pilu.
Lebarlah sayapmu di angkasa biru
Tiada batasan waktu menghalangmu
Hanya doa kusulamkan bersama.
Walau di sini keringatmu masih basah
Pasti ada gerimis yang menitis ke tanah
Membasahi hati-hati yang pasrah.
Di persada benakku yang pilu
Aku tegar mengintaimu
Kerana masih panas jejakmu
Menginjak jalan kelikir berbatu bersamaku
.........di sini kau tinggalkan rindu
UNTUK AKU MENGGAPAI MERCU.

Istimewa untuk: Puan Selamah bt Rasol (Bekas PK KOKU SKCJ)

                                     
                               SKCJ -Semalam Yang Kutinggalkan

Kuintai tiap aksara mengakar namamu
Saban waktu terluang bicara itu
SKCJ yang pernah kuhuni namamu
Merangkak,bertatih,berlari sedekad yang lalu
Menggalas harapan di pundak demi impian beribu
Anak-anak bangsa pewaris negara.
Anjakan waktu tak bisa memadam sejarahku
Bergentayangan memapar tiap ruang bersamamu
Kau lantas mendewasakan aku
Meneroka realiti peradaban seorang guru.
Biar titipan doaku mengiringi kecemerlanganmu
Walau luluh benakku dek hambatan rindu
Jauh di sudut tabir keinsafan relaku
Melagang untung takdir ketentuan waktu
Agar dapat kuulang sejarah gemilangku.
SKCJ..........
Megahlah kau dalam pautan tangan-tangan pendidikmu
Agar dapat kukongsi gelombang kegembiraan itu
Walau kejauhan pemisah jarak antara kita
Hakikatnya....
Kita tetap satu
Menggapai visi dan misi ditentu
SKCJ.....
Bagai baru semalam kau kutinggalkan.

                                     
                                              Seloka Pandai Pak Pandir

Anak dipijak dagang dijinjing
Kucing dibunuh tikus dibela
Harta habis badan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh dilangit,air tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang,buntut kena cangkuk onak
Gunting makan di hujung
Pak pandir jua menanggung
Apa didengar gelagak dagang
Gelagak rambutan jantan
Orang berbunga,dia berbunga
Orang berbuah dia haram
Kilat memancar hujan tak jadi
Awak juga berkecundangan.

              Fikir-fikirkan maksud yang tersirat.


2 comments:

  1. Perhatikan penggunaan ayat-ayat serta perbendaharaan kata dalam puisi di atas.Saya menggunakan kata singkatan kerana bahasa dalam puisi lebih bebas.Kata ganti nama singkat masih saya rapatkan kerana ganti nama tersebut tidak boleh berdiri sendiri.

    ReplyDelete
  2. Tahniah...bahasa yang puitis dan menyentuh kalbu..

    ReplyDelete