"BIASAKAN YANG BETUL , BETULKAN YANG BIASA"

Saturday, February 2, 2013

Membina Perenggan

1.Setiap karangan mesti mempunyai pendahuluan,isi penting dan penutup.
2.Perenggan pendahuluan dan penutup terdiri daripada satu perenggan sahaja.
3.Perenggan isi terdiri daripada beberapa perenggan mengikut kesesuaian jumlah perkataan diperlukan.
4.Setiap perenggan mesti mengandungi ayat yang menerangkan isi utama dan diperluas dengan isi sampingan
   serta contoh sebagai bukti untuk memperkuat huraian.
5.Setiap perenggan isi mesti mempunyai perkaitan/pertalian isi yang dihubungkan melalui penggunaan 
   penanda wacana.

Friday, January 11, 2013

Menyusun Rangka Karangan

1. Penyediaan rangka karangan amat penting kerana rangka karangan menjadi panduan untuk menulis karangan.

2. Melalui rangka karangan anda dapat :
    a) memastikan semua isi penting telah anda senaraikan.
    b) mengawasi isi-isi penting tidak terkeluar daripada tajuk karangan.
   c) menyusun isi-isi penting mengikut urutan yang sesuai.
   d) memastikan bahawa fakta-fakta yang disenaraikan tidak berulang-ulang.
   e) menilai semula setiap isi penting dapat dihuraikan dengan lancar dan teratur.
   g) menetapkan had panjang karangan.

Friday, December 21, 2012

Proses dan Strategi Mengarang

Sebelum Mengarang
a) Baca ketiga-tiga soalan yang diberi dan gariskan kunci soalan. Fikirkan :
    >jenis karangan yang perlu anda tulis.
    >4 isi utama karangan.
    >laras bahasa yang perlu digunakan.
-Peruntukkan masa antara 3 hingga 5 minit untuk memikirkan kehendak soalan.
b) Pilih soalan yang anda rasakan paling yakin untuk anda menjawab dengan baik.(anda mempunyai pengetahuan tentang tajuk tersebut,anda faham kehendak soalan dan anda mampu membuat huraian untuk isi utama).
c) Fokuskan pemikiran anda kepada kunci soalan.(Contoh: gambarkan/ceritakan/bincangkan/tulis ucapan/tulis laporan dan sebagainya).Gariskan perkataan-perkataan tersebut.

Tuesday, December 11, 2012

Takdirmu.......bahasaku

                                     Takdirmu.......bahasaku

Sejarahmu....ribuan tahun berlalu
Lingua Franca gelaran perananmu
Penyatu aneka bangsa penghuni di Melaka
Ditutur pedagang tak kira bangsa.
Bahasaku.....
Lahir tokoh ilmuwan pendokong watakmu
Gahnya Nusantara
Menjana kegemilangan Tamadun Melayu
Siapa kata bahasaku bukan bahasa ilmu????
Setinggi darjatmu,diangkat di persada Perlembagaan negaraku
Bahasa rasmi,bahasa kebangsaan panggilan keramatmu
Ampuh dan teguh selaku pemersatu
Etnik dan bangsa hidup berpadu.
Takdirmu bahasaku........
Diangkat di singgahsana namun hidup melata
Di sisi penutur-penutur egois yang tidak setia
Tanpa tatabahasa,cetek dan dangkal akal bicara
Tak punya identiti untuk dikenal bangsa.
Di mana lagi nak kuadu sengsara nasibmu bahasa????
Pada tangan-tangan rakus,boneka jajahan minda???
Menyakitkan......hati,jiwa....melolong raungan sukma
Semoga esok takdirmu berubah,bahasaku......
Seiring doa penutur-penutur setia
Walau bayangnya kabur...harapan masih belum berkubur.

Nukilan : Semarak Jiwa Dis2012

Monday, December 10, 2012

Bahasa dalam penulisan

Penggunaan bahasa yang baik amat penting dalam penulisan.Dengan menggunakan bahasa yang baik,pembaca dapat memahami ayat-ayat yang anda tuliskan serta mengetahui mesej yang ingin disampaikan.Bahasa yang baik ialah bahasa yang jelas,iaitu menggunakan ayat yang ringkas dan pemilihan kata yang mudah tetapi tepat.Antara perkara yang perlu anda perhatikan semasa membina dan menulis ayat adalah :
a) sistem ejaan
b) tatabahasa
c) perbendaharaan kata
d) tanda baca

Anda juga dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan struktur binaan ayat bahasa Inggeris.Biasakan menulis ayat-ayat mengikut hukum tatabahasa Melayu dan membuat rujukan melalui Tatabahasa Dewan dan Kamus Dewan.Dengan itu, anda mempunyai panduan untuk berbahasa dengan betul

      Jawapan dicadangkan.

1. Puan Sarah melangkah keluar dari lif sambil mendukung anaknya.
2 .Encik Rahman melihat jam pada pergelangan tangan kirinya sambil membimbit beg .
3 .Dua orang budak perempuan membaca buku di hadapan pintu lif.
4 .Adik membongkok untuk mengambil dompetnya yang terjatuh di atas lantai.
5. Mooi Ling memasukkan sebuah buku ke dalam beg yang disandangnya.